Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Pasangan suami isteri yang disyaki bersubahat dengan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai 'Long Tiger' yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret di Tangkak pada 15 Disember lalu, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir pada 12.30 tengah malam kelmarin.

"Mereka (suami isteri) itu adalah rakan (Long Tiger). Kita masih lagi melancarkan operasi untuk mengesan Long Tiger dan percaya dia masih berada di sekitar kawasan Bukit Gambir dan sebagainya.

"Saya menyeru kepada masyarakat dan orang awam, jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia sedang diburu oleh pihak polis.

"Kalau kita dapat maklumat dan ada bukti bahawa ada orang awam mencuba melindungi Long Tiger, kita akan buat tindakan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Khas Bersepadu (Bas Ekspres/Persiaran) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Hentian Simpang Renggam (Utara) Lebuhraya Utara Selatan di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan yang sama, Ayob Khan berkata, pihaknya menyiasat segala aspek termasuk elemen rasuah yang mungkin berlaku sehingga Long Tiger boleh lolos dari tahanan polis sebelum ini.

"Kita siasat segala aspek sama ada dia bersubahat, bersengkongkol atau dirasuah, itu semua kita siasat bukan dari segi kecuaian sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 10:37 AM