ANGGOTA Unit Udara PDRM meninjau kawasan terjejas banjir. FOTO NSTP
ANGGOTA Unit Udara PDRM meninjau kawasan terjejas banjir. FOTO NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan 7,047 pegawai dan anggota untuk membantu di negeri terjejas banjir di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, selain itu aset tambahan keanggotaan dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) termasuk Komando VAT69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) turut digerakkan untuk membantu mangsa banjir di lapan negeri terjejas banjir.

Beliau berkata, jumlah pegawai dan anggota dari lapan kontinjen adalah seramai 6,619 orang manakala bantuan daripada elemen JKDNKA adalah 428 orang.

"Buat masa ini kita minta kontinjen negeri lain supaya bersedia kerana kalau negeri mereka berlaku banjir nanti macam mana pula.

"Tapi elemen bantuan dari Bukit Aman yang turun padang ketika ini untuk membantu di kawasan terjejas akibat banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah, Wilayah (1) Kedah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Komander PPM PDRM, Senior Asisten Komisioner Rosman Ismail.

Mazlan berkata, markas Taktikal PPM itu mula beroperasi sejak 23 Mac 2005 dan diubah suai membabitkan kos berjumlah RM200,000.

Beliau berkata, lokasi itu strategik sebagai untuk mencegah jenayah rentas sempadan antara Thailand dengan Malaysia melalui jalan laut.

"Markas taktikal ini sangat penting khususnya dalam menjaga keselamatan perairan dengan kerancakan sektor ekonomi utama iaitu perikanan di Kuala Kedah ini.

"Selain mengawal keselamatan perairan negara, PPM berperanan membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan yang secara langsung menjejaskan ekonomi dan mengakibatkan ketirisan hasil pungutan cukai negara.

"Ini termasuklah kegiatan sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi, dadah, beras, rokok, minuman keras, pasir dan hasil khazanah negara," katanya.

Mazlan berkata, bermula Januari hingga November lalu, PPM Kuala Kedah merekodkan 29 kes tangkapan dengan keseluruhan nilai rampasan RM450,221 berbanding 40 kes tangkapan dengan nilai rampasan RM6,492 pada tahun lalu.

Beliau berkata, 19 anggota PPM diletakkan di markas itu dapat melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memastikan penjenayah tidak sewenang-wenangnya melakukan jenayah di kawasan perairan di Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 9:43 PM