GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penduduk di Kelantan rugi lebih RM17 juta dalam tempoh Januari hingga bulan lalu selepas diperdaya sindiket penipuan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, dalam tempoh itu 770 kes direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) membabitkan pelbagai jenis kes penipuan, berbanding 812 kes tahun lalu.

Katanya, meskipun jumlah kes menurun 42 kes atau 5.2 peratus, masyarakat harus peka dengan taktik digunakan sindiket penipuan kerana ia membabitkan jumlah kerugian tinggi.

"Sikap kurangnya kesedaran terhadap kes penipuan siber dalam kalangan masyarakat hari ini menjadi faktor yang menyumbang kepada kes jenayah komersial yang masih tinggi.

"Namun saya berharap pihak JSJK Kelantan terus berusaha mempertingkatkan operasi membanteras jenayah penipuan siber, disamping mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat terhadap trend jenayah komersial terkini," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, antara jenayah komersil paling tinggi direkodkan adalah penipuan e-dagang dan pinjaman yang tidak wujud iaitu masing-masing 310 dan 110 kes.

"Kami tidak menolak kemungkinan kes pinjaman yang tidak wujud ini adalah disebabkan individu yang terdesak untuk menambah wang sehingga menyebabkan mereka tersalah pinjam (dengan pihak tidak sepatutnya).

"Kebanyakan kes penipuan seperti ini berlaku disebabkan kekurangan ilmu dan sebelum membuat pinjaman, mereka sepatutnya menyiasat sama ada ia betul atau tidak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, indeks jenayah rogol tahun ini meningkat 99 kes berbanding 92 kes tahun lalu.

"Manakala samun menggunakan senjata api mencatatkan dua kes, berbanding sifar kes pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 2:32 PM