SUKARELAWAN KPJ Healthcare dan (KPJ ACC) membantu mangsa banjir. FOTO Ihsan KPJ.
SUKARELAWAN KPJ Healthcare dan (KPJ ACC) membantu mangsa banjir. FOTO Ihsan KPJ.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menggerakkan sumber dan pasukan sukarelawannya untuk membantu mangsa bencana banjir.

Ketua Pegawai Korporatnya, Ariesza Noor berkata, sepasukan sukarelawan dari ibu pejabat dan Pusat Jagaan Ambulatori KPJ (KPJ ACC) Bandar Kinrara menghulurkan bantuan kepada 63 keluarga dan lebih 500 mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Puchong Indah seawal 2 pagi hari ini.

Beliau berkata, mereka memberikan bantuan perubatan kepada individu yang memerlukan di pusat perlindungan itu.

"Selain itu kami turut mengedarkan kit bantuan khas yang diisi dengan keperluan perubatan asas seperti kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur, makanan kering, ubat generik, vitamin C, pelitup muka dan peralatan mandian asas.

"Terdapat empat pusat perlindungan di kawasan Puchong. Semoga lebih banyak bantuan tiba untuk semua mangsa.

"Saya dan pasukan akan terus memantau keadaan. Kami bersedia untuk menggerakkan lebih banyak aset untuk membantu, sekiranya perlu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya juga menyediakan jamuan dan tempat berteduh sementara di lobi Hospital Pakar KPJ Selangor dan Hospital Pakar Selangor tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Selain itu, katanya, Pegawai Perubatan KPJ Healthcare di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan hospital itu sedia membantu jika mangsa memerlukan rawatan perubatan.

Beliau menggesa mereka yang terjejas akibat banjir supaya menghubungi talian kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa pada setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 7:17 PM