Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seekor buaya yang dipercayai tersesat akibat air sungai yang naik mendadak di jambatan berhampiran Sungai Linggi mengejutkan pengguna jalan raya hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Timar berkata, kejadian berlaku jam 3 petang tadi.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang segera ke lokasi kejadian dan mendapati ada seekor buaya yang berada di jambatan di Linggi.

"Kami percaya buaya ini tersesat dan anggota bomba mengambil inisiatif menghalau buaya ini kembali ke habitat asalnya di kawasan sungai berhampiran," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, buaya ini tidak agresif cuma ia tidak tahu arah yang mahu dituju.

"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, diharapkan agar orang ramai lebih berhati-hati kerana boleh terserempak dengan buaya dan bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Cuaca masih tidak menentu ketika ini dan diharapkan agar orang ramai tidak membiarkan anak-anak bermain di lokasi berhampiran sungai yang parasnya semakin naik," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamal berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk sejak sejak beberapa tahun lalu.

"Dua kawasan yang teruk dilanda banjir ialah di kawasan Permatang Pasir dan Linggi termasuklah rumah kedai kawasan Linggi.

"Dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Balai Raya Permatang Pasir dan Balai Raya Linggi sejumlah 86 orang mangsa dipindahkan ke sini namun keadaan ini mungkin ada pertambahan mangsa," katanya.

TANGKAP layar rakaman video yang tular. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman video yang tular. FOTO tular

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:13 PM