ORANG ramai menunaikan tanggungjawab dengan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Pusat Pengundian SJK (C) Chuang Hua No. 4, Kuching. FOTO Aizuddin Saad
ORANG ramai menunaikan tanggungjawab dengan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Pusat Pengundian SJK (C) Chuang Hua No. 4, Kuching. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuching: Sebanyak 52 peratus pengundi direkodkan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 setakat 3 petang ini, dua jam sebelum pengundian berakhir sepenuhnya pada 5 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pemilih berdaftar mula keluar mengundi di 1,866 pusat mengundi yang disediakan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri sejak 7.30 pagi.

Pada 14 Disember lalu, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Bergantung kepada jumlah pengundi, beberapa pusat mengundi sudah mula ditutup secara berperingkat seawal 11 pagi.

SPR sebelum ini mensasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:05 PM