Wan Idris (kiri) dan isteri (tengah) bersama tiga anaknya Wan Zulaikhar (dua, kiri) dan Wan Nurul Izzati (dua dari kanan) dan Wan Mohd Zaki semasa ditemui di Kampung Batangan di sini. FOTO BERNAMA
Wan Idris (kiri) dan isteri (tengah) bersama tiga anaknya Wan Zulaikhar (dua, kiri) dan Wan Nurul Izzati (dua dari kanan) dan Wan Mohd Zaki semasa ditemui di Kampung Batangan di sini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Marang: Ketika warga emas lain menghabiskan usia senja mereka dengan berehat atau bermain bersama cucu, sebaliknya bagi pasangan warga emas ini apabila masih terus membanting tulang empat kerat untuk menjaga tiga anak orang kurang upaya (OKU).

Wan Idris Musa, 67, dan isteri, Senanim Omar, 68, mengerah kudrat menguruskan anak kedua dan ketiga mereka iaitu Wan Zulaikhar, 38, dan Wan Nurul Izzati, 34, yang tidak boleh berjalan serta bercakap akibat penyakit saraf sejak kecil.

Anak bongsu pula, Wan Mohd Zaki, 32, adalah OKU mental sejak berusia 15 tahun dan sentiasa memerlukan perhatian rapi.

"Hanya anak sulung iaitu Wan Zulkifli, 40, yang normal, tetapi dia berkahwin dan tinggal di tempat lain. Jadi, hanya pak cik dan mak cik yang uruskan mereka bertiga.

"Kakak (Wan Zulaikhar) dan adik (Wan Nurul Izzati) tidak boleh berjalan. Kalau hendak ke mana-mana malah dari ruang tamu ke dapur pun pak cik dukung. Bercakap tidak boleh dan hanya mampu merengek," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batangan di sini.

Wan Idris berkata Wan Mohd Zaki tidak boleh dibiarkan sendirian kerana bimbang dia keluar rumah dan tidak tahu jalan pulang.

Fizikal Wan Zulaikhar dan Wan Nurul Izzati lembik dan rumah kayu yang bertangga menyebabkan beliau dan isteri tidak boleh menggunakan kerusi roda untuk menguruskan anaknya, malah sekitar tiga minggu lepas isterinya pernah terjatuh dan sakit tulang belakang ketika mengangkat Wan Zulaikhar untuk mandi.

Selain itu, Wan Idris menahan kesakitan setiap kali dipukul dan ditumbuk Wan Mohd Zaki apabila sesekali bersikap agresif.

Berikutan keadaan ketiga-tiga anak istimewa itu, Wan Idris tidak dapat bekerja dan perbelanjaan harian lima sekeluarga itu bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,300 sebulan.

"Mujur pak cik dan mak cik dapat bantuan RM1,000 di bawah kategori penjaga manakala Wan Mohd Zaki menerima bantuan OKU RM300. Cukup untuk perbelanjaan kami. Makan asal kenyang sahaja dan tidak mampu bermewah," katanya.

Beliau bersyukur kerana Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang menyalurkan bantuan lampin pakai buang dan barang keperluan asas bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Senanim mengakui risau nasib tiga beradik itu apabila beliau dan suami tiada memandangkan tiada sesiapa boleh menguruskan anak mereka.

"Apabila mak cik fikir balik, mereka adalah anugerah, sakit mereka pun Allah yang takdirkan jadi mak cik berserah sahaja apa jadi pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:31 AM