DATUK Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media, hari ini. FOTO Bernama
DATUK Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Konsep 'Sekolahku Sejahtera' yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pelaksanaannya tidak membabitkan kewujudan mata pelajaran baharu sebaliknya guru akan menyelitkan elemen dalam konsep 'Sekolahku Sejahtera' itu sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

Radzi pada Isnin lalu berkata, konsep 'Sekolahku Sejahtera' bersifat penerapan nilai murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

"Konsep ini bukan suatu perkara retorik tapi ia satu perjuangan untuk memastikan murid-murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda," kata Radzi pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah suatu isu yang perlu ditangani dengan serius agar ia tidak menjadi suatu budaya atau berulang di masa hadapan.

Katanya kejadian yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu dijadikan pengajaran kerana budaya buli boleh membawa kepada kehilangan nyawa.

Pada sidang media selepas itu, Radzi berkata, KPM sedang menyediakan kerangka baharu yang menyeluruh bagi membanteras masalah buli di sekolah termasuk di sekolah berasrama, yang melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan terhadap pendekatan sedia ada.

Kerangka itu, katanya memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

Berhubung status 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ditamatkan pengajian kerana terlibat dalam kes buli seperti yang tular baru-baru ini, Radzi berkata, mereka boleh memasuki sistem persekolahan KPM namun perlu menjalani beberapa proses sebelum diterima masuk selain mengikuti sesi kaunseling.

"KPM sedia maklum mereka ini sudah ada rekod sebab itu kita (KPM) tidak boleh terima dengan mudah. Mereka juga akan dipantau dengan rapi apabila diterima masuk kelak," katanya sehingga kini KPM belum menerima permohonan kemasukan ke sekolah daripada penjaga pelajar terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 9:31 PM