GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala lumpur: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) tambahan telah digariskan bagi mengekang penularan varian membimbangkan, Omicron.

Ia berikutan pengesanan kes kedua varian Omicron di negara ini yang membabitkan kanak-kanak lapan tahun.

Katanya, SOP tersebut menyatakan pengembara yang kembali dari United Kingdom mesti melakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin dan melaporkan keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera.

Tempoh kuarantin adalah tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksinasi dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi.

Selain itu, beliau berkata, lebih banyak negara berisiko tinggi yang akan diumumkan dan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, pengembara yang tiba dari negara-negara ini akan dipakaikan gelang pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin.

Terkini katanya, Nigeria disenaraikan di dalam negara berisiko tinggi menjadikan terdapat sembilan negara tersenarai setakat ini.

Sebelum ini, KKM menyenaraikan lapan negara berisiko tinggi iaitu Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, India dan Kanada.

Manakala lapan negara dikenakan sekatan iaitu Afrika Selatan, Botswana, Mozambique, Namibia, Malawi, Zimbabwe, Lesotho dan Eswatini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 2:01 PM