Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merekodkan 176 serbuan sepanjang tahun ini.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya berjaya menahan 1,119 individu yang terbabit dengan penyeludupan serta merampas pelbagai jenis barang bernilai RM97.5 juta dalam serbuan berkenaan.

"Daripada tangkapan berkenaan membabitkan 194 warga tempatan, manakala 725 orang lagi adalah warga asing.

"Semua individu itu berusia setahun hingga 64 tahun itu dan ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Op Nyah 1, Op Benteng, Op Kontraband dan Op Khazanah," katanya ketika sidang media di Briged Tengah PGA di sini, hari ini.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim
Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim

Muhammad berkata, nilai rampasan Briged Tengah pada tahun ini adalah tertinggi berbanding pasukan lain.

"Rampasan itu membabitkan kenderaan bernilai RM9.12 juta, diikuti rokok seludup (RM41.6 juta), arak seludup dan ketum (RM38.3 juta), dadah (RM202,650.50), hidupan dan tumbuhan dilindungi (RM120,500) dan bahan letupan (RM1.48 juta).

"Selain itu, turut dirampas adalah barangan kawalan seperti padi, beras, diesel (RM2.63 juta), logam dan tembaga (RM3.1 juta) serta wang tunai berjumlah RM802,137.40," katanya.

Muhammad berkata, sindiket penyeludupan sentiasa menukar modus operandi mereka untuk mengelak ditangkap.

"Taktik mereka sepanjang pandemik Covid-19 sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Kita percaya ada penyeludup masih menggunakan bot nelayan kecil untuk menyeludup barangan.

"Beberapa pendatang tanpa izin (Pati) turut ditahan selepas mereka berjaya memasuki negara ini. Kita juga mengesan penyeludup Pati turut mengiklankan perkhidmatan melalui media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 12:35 PM