NOOR Hisham pada sidang media hari ini. Turut kelihatan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Datuk Dr Norhayati Rusli. FOTO Bernama.
NOOR Hisham pada sidang media hari ini. Turut kelihatan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Datuk Dr Norhayati Rusli. FOTO Bernama.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Peningkatan kes Covid-19 mungkin berlaku di Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu bersandarkan trend yang kini berlaku di United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah lain.

Menurutnya, kebimbangan itu boleh dielakkan jika rakyat negara ini terus kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan aktiviti kesihatan awam.

"Di UK dan Eropah berlaku peningkatan kes dan kita jangka dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini Malaysia akan hadapi keadaan sama.

"Oleh itu, kita perlu membaiki akta sedia ada (Akta 342) supaya langkah kesihatan awam dimantapkan.

"Dos penggalak juga penting sebagai persediaan jika berlaku peningkatan kes secara mendadak," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, rakyat terus digesa untuk mendapatkan suntikan dos penggalak yang terbukti mengurangkan gejala serius Covid-19.

Beliau berkata, sekiranya individu dilengkapi dos penggalak, mereka berkemungkinan hanya mengalami gejala ringan jika disahkan positif Covid-19.

"Vaksin berjaya mengurangkan keparahan Covid-19 dan ini adalah kesiapsiagaan jika berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini.

"Ia juga sebagai langkah untuk kita menghadapi penularan varian membimbangkan Omicron," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 7:20 PM