Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan sebanyak 5,862 tangkapan individu membabitkan kes kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan nilai rampasan sekitar RM366 juta sejak tahun lalu.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, jumlah itu diperoleh melalui operasi diadakan di sekitar perairan Selangor yang menjadi tumpuan pendaratan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, operasi terbabit turut membawa kepada tangkapan tekong darat serta laut selain penemuan rumah apungan yang menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin itu.

"Kejayaan tersebut melibatkan kesemua 5 Briged PGA seluruh negara dan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang turut serta dalam menghasilkan tangkapan yang berkualiti," katanya menerusi program Koresponden Bernama.

Muhammad berkata, PGA akan turut melaksanakan satu operasi khas dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di sekitar perairan Selangor dalam masa terdekat.

Katanya, terdapat banyak titik pendaratan tanpa izin serta lorong tikus di sini bermula dari sempadan Sungai Lang di utara Selangor yang bersempadanan dengan Perak sehingga Sepang yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan.

"Berikutan ia menjadi lokasi tumpuan mereka untuk memasuki negara, pihak kami akan menggandakan operasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 5:51 PM