KIBARAN bendera parti GPS bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di pengkalan perahu penambang Kampung Lintang berlatar belakang bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika tinjauan sempena PRN Sarawak, kelmarin. FOTO Aizuddin Saad
KIBARAN bendera parti GPS bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di pengkalan perahu penambang Kampung Lintang berlatar belakang bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika tinjauan sempena PRN Sarawak, kelmarin. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuching: Pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) bermula hari ini, dengan pandangan ramai kekal merasakan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan diberikan mandat semula untuk mentadbir negeri dan persoalan utama kini adalah, berapa jumlah kerusi yang mampu dimenanginya.

Hanya empat Dewan Undangan negeri (Dun) menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala yang lainnya membabitkan pertandingan pelbagai yang akan menyaksikan parti pembangkang bertembung sesama sendiri dalam cubaan menewaskan GPS.

Rata-rata pandangan menjurus kepada ramalan awal bahawa pencabar utama GPS adalah DAP dan parti baharu, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

"Pandangan ramai adalah GPS akan kembali berkuasa," kata Oh Ei Sun, Felo Kanan 'Singapore Institute of International Affairs'.

"Secara realistik, pemain utama masih GPS, DAP dan PSB. Yang lainnya, termasuk Parti Bumi Kenyalang, malah PKR - saya jangka mereka tidak akan menang walau satu kerusi sekali pun. Parti yang perlu diperhatikan ialah PSB yang bertanding buat kali pertama, namun mereka kelihatan memiliki banyak sumber.

"Kita lihat sahaja apa yang akan berlaku, sama ada PSB boleh muncul sebagai pemain politik signifikan di Sarawak selepas pilihan raya ini," katanya.

Dengan hari pengundian Sabtu ini semakin hampir, parti-parti seperti PKR yang memperoleh tiga kerusi pada PRN 2016 dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang menurunkan 73 calon pada PRN ini, dijangka tidak akan menampilkan banyak cabaran.

Pertelagahan dalam parti dan ketiadaan isu-isu penting menjadikan kempen mereka agak hambar sejak hari pencalonan 6 Disember lalu.

"Terdapat banyak pertelagahan dalaman yang mengakibatkan perpecahan, antaranya isu calon luar yang tidak diterima penduduk tempatan. Selain itu, tiada isu-isu penting," kata Oh, yang berpandangan bahawa isu kuasa autonomi bagi Sarawak nampak tidak mendapat sambutan ramai.

"Pembangkang kelihatan tidak banyak bercakap mengenai isu-isu yang relevan seperti kepayahan kehidupan akibat pandemik, saya tidak nampak isu ini dimainkan," katanya.

GPS bertanding di semua kerusi manakala DAP mempunyai 26 calon dan PRS mengemukakan 70 calon.

PKR mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi daripada 40 kerusi pada PRN lepas kepada 28.

Ia akan berusaha mempertahankan Dun Ba'kelalan, Batu Lintang dan Krian yang dimenangi pada 2016, tetapi ketiga-tiga pemenang, Baru Bian, See Chee How dan Datuk Ali Biju kini tidak lagi bersama dengan parti itu.

Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah juga melihat PKR sebagai bukan pesaing tanpa Baru yang pernah menjadi ketua parti itu yang membawa kepada 'Langkah Sheraton' yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Baru mempertahankan Ba'kelalan untuk PSB sebagai ahli majlis presiden.

Parti itu diketuai oleh ahli politik berpengalaman dan bekas menteri dalam kabinet kerajaan negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.

"Baru Bian sinonim dengan PKR di sini. PSB dilihat boleh mengukuhkan perjuangan mereka untuk kerusi dominasi kaum Cina, selebihnya bergantung kepada Baru Bian kerana dia mempunyai ramai pengikut tegar," katanya.

Ini kali pertama GPS memasuki gelanggang PRN sebagai entiti yang mengandungi empat komponen yakni Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dr Jeniri Amir, felo kanan Majlis Profesor Negara optimis PBB akan mengekalkan rekodnya di kawasan Bumiputera, selepas menyapu bersih 40 kawasan pilihan raya pada 2016, malah meningkatkan jumlahnya kepada 46 kerusi kali ini.

"Sekali lagi GPS akan memperoleh majoriti lebih dua pertiga, tekaan saya 65 hingga 70 kerusi Dun," katanya.

Pada pilihan raya lalu, kerajaan yang memerintah turut mengambil kira kemenangan 11 calon langsung yang bukan anggota empat parti komponen itu, termasuk Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 3:48 PM