Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Syarikat pembekal daging sejuk beku bersama dua pengarah, pengurus stor dan akauntannya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 16 pertuduhan penggubahan wang haram yang membabitkan nilai RM13.28 juta.

Tertuduh iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd; pengarahnya Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas dan Yong Chee Keong, 40; pengurus stor Chong Kim Kuang, 48; serta akauntan Ng Yee Xin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pengakuan itu direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Hakim turut memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Tan yang gagal menghadiri kesemua prosiding sejak kes kartel daging itu dibawa ke mahkamah, Februari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan tiga tertuduh serta seorang lagi yang masih bebas, didakwa menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM446,517.19; RM6.75 juta; RM2.78 juta dan RM3.37 juta, yakni keseluruhannya RM13.28 juta yang merupakan hasil aktiviti haram menerusi akaun bank milik syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Raihan Rithuwan dan Norazihah Asmuni manakala, kesemua tertuduh kecuali Tan yang masih bebas diwakili Peguam, Zamri Idrus dan Saifuzaman Ab Rahman.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1 juta ke atas ketiga-tiga tertuduh yang hadir prosiding itu, namun peguam mewakili LY Frozen, Chong dan Yong memohon jaminan dengan mengguna pakai wang jaminan RM660,000 yang dibayar untuk pertuduhan sebelum ini.

Peguam juga memohon supaya jaminan ke atas Ng ditetapkan pada kadar antara RM50,000 hingga RM60,000 berikutan wanita berkenaan sudah tidak lagi bekerja.

Hakim kemudian memerintahkan jaminan lama digunakan ke atas Chong dan Yong, manakala jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap Ng, dengan syarat tambahan iaitu melapor diri ke balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes itu ditetapkan esok.

Hari ini adalah kali ketiga prosiding mahkamah bagi kes kartel daging sejuk beku membabitkan syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengarahnya Tan, yang masih bebas dan Yong , serta pengurus stor syarikat itu Chong.

Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 1:24 PM
Pengurus stor, Chong Kim Kuang, 48, (kiri) dan akauntan, Ng Yee Xin, 37, (dua dari kanan) didakwa atas 16 pertuduhan mengikut akta penggubahan wang haram membabitkan RM13.28 juta, antara Oktober 2018 hingga Disember tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pengurus stor, Chong Kim Kuang, 48, (kiri) dan akauntan, Ng Yee Xin, 37, (dua dari kanan) didakwa atas 16 pertuduhan mengikut akta penggubahan wang haram membabitkan RM13.28 juta, antara Oktober 2018 hingga Disember tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN