Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Selepas tular video kereta yang memotong di lorong barisan kecemasan, kini tular sebuah lori tangki membuat kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ia menerusi rakaman video berdurasi 16 saat yang dimuat naik di Facebook.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 11 Disember 2021, antara 2 hingga 4 petang di Kilometer 27 dan Kilometer 28 Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) dari arah Seremban ke Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Katanya, semasa kejadian, keadaan trafik di lebuh raya adalah sesak.

"Polis mengesan sebuah lori tangki yang menggunakan nombor pendaftaran CEL 5916 yang didaftarkan pada sebuah Syarikat Pengangkutan beralamat di Bukit Raja, Shah Alam.

"Polis meminta kepada pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan hadir ke Balai Trafik Port Dickson bagi memberi keterangan dan siasatan lanjut," ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalulintas 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 8:12 AM