TINJAUAN Harian Metro di kawasan sawah padi sekitar Sekinchan. FOTO Saifullizan Tamadi
TINJAUAN Harian Metro di kawasan sawah padi sekitar Sekinchan. FOTO Saifullizan Tamadi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) meneruskan pemantauan di semua lapan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di seluruh semenanjung bagi memastikan ia tidak menjadi 'lubuk emas' pendatang asing.

Ketua Pengarahnya Azman Mahmood berkata, ketika ini pihaknya sedang mendapatkan laporan terperinci mengenai kegiatan warga asing yang memonopoli sawah padi dengan aktiviti agronomi.

Katanya, penguatkuasaan bersepadu bersama agensi kerajaan berkaitan akan diteruskan bagi memastikan apa yang berlaku di Sekinchan dapat dihentikan.

"Apa yang perlu difahami ialah, kita tidak ada masalah dengan mereka yang mengambil upah, iaitu menerima gaji daripada pesawah tempatan.

"Tetapi, mestilah untuk kerja sawah, bukannya kebun kerana kerajaan menyediakan banyak insentif untuk benih, baja dan racun.

"Apa yang kita bimbang, bila mana mereka ini mula tunjuk lagak seolah-olah sudah memiliki sawah yang menjadi hak kita," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya mengesan lebih 200 'petani import' yang mengusahakan penanaman padi di negara ini.

Selain itu, katanya, ada dalam kalangan mereka yang menjadikan sawah berkenaan sebagai kebun dengan mengusahakan pelbagai jenis tanaman untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau perkara ini dan mendapatkan maklumat terperinci di setiap negeri untuk tindakan susulan.

"Saya menerima maklum balas mengenai perkara ini sejak didedahkan Harian Metro minggu lalu.

"Perkara ini dibahaskan tiga kali di Dewan Rakyat, menunjukkan ia adalah isu negara, ancaman keselamatan serta ekonomi dalam jangka masa panjang. Kita berharap pihak berkepentingan sedar dengan isu ini ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 5:43 PM