Sebahagian ahli keluarga Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) bersama pihak Hospital University UCSI ketika Program Sambutan Hari Diabetis Sedunia bersama media di Hospital UCSI,Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Sebahagian ahli keluarga Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) bersama pihak Hospital University UCSI ketika Program Sambutan Hari Diabetis Sedunia bersama media di Hospital UCSI,Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Hospital UCSI University bakal menjalinkan kerjasama dengan Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan menjadikan hospital berkenaan sebagai hospital panel.

Ketua Pegawai Operasi Hospital UCSI, Abu Bakar Jalaluddin berkata, kerjasama itu adalah usaha pihaknya dalam membantu pengamal media yang juga anggota barisan hadapan dalam meringankan beban kos rawatan dan perubatan.

"Kita akan memberikan diskaun atau potongan harga kepada ahli ahli MANIS apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital kami. Namun butiran lanjut akan dibincang dengan pihak MANIS untuk menentukan kelayakan.

"Pihak kami pun berharap usaha ini dapat memberi manfaat sekaligus membantu ahli MANIS dalam mendapatkan rawatan dan perubatan sebaiknya sekiranya mereka memerlukannya," katanya selepas selesai Program sambutan Hari Diabetis Sedunia bersama media di Hospital UCSI, Bandar Springhill di sini, tadi.

Turut hadir Pengerusi MANIS, Arfi Ahmad dan ahli keluarga warga media.

Katanya, pihak Hospital University UCSI turut mengambil kira kaedah pembayaran kos rawatan dan perubatan samada berbentuk tunai ataupun menggunakan insurans yang sedia ada.

"Dalam kedua-dua keadaan ini pun mereka (ahli MANIS) cuba untuk mengurangkan kos seberapa banyak yang boleh kami dipihak UCSI akan turun padang dan mengotakan janji atas semangat kerjasama," katanya.

Abu Bakar berkata, selain dari itu Hospital University UCSI ini mempunyai barisan doktor pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan itu menjadi keutamaan untuk memberikan kepuasan kepada mereka yang menerima rawatan di sini.

Sementara itu, Arfi Ahmad berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan tawaran pihak Hospital University UCSI ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 3:35 PM