Nurliyana ketika ditemui hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Nurliyana ketika ditemui hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Harga beberapa jenis sayuran di bandar ini mula turun hingga menjangkau penurunan sebanyak RM5 setiap kilogram (kg).

Penurunan harga berlaku pada sayur brokoli yang kini dijual antara RM14 hingga RM15 sekilogram berbanding RM20 hingga RM21 sekilogram sebelum ini.

Turut mengalami penurunan adalah sayur bunga kobis yang dijual RM18 sekilogram berbanding RM23 sebelum ini.

Peniaga pasar tani Kuala Kangsar, Nurliyana Mohd Yunus berkata, bagaimanapun masih terdapat harga sayuran yang seperti terung, lobak merah, sawi, daun sup, dan daun bawang sedang naik.

Menurutnya, pemborong mendakwa antara faktor harga mula turun adalah berikutan cuaca yang lebih baik berbanding musim tengkujuh.

"Saya ambil stok sayur di Pasar Borong Ipoh yang mana sebahagian besar sayur yang dikumpul di situ adalah yang dihantar dari Cameron Highlands. Saya perasan stok bekalan sayur di pasar borong itu juga sering berkurangan berbanding sebelum ini.

"Ada kalanya saya terpaksa mengambil stok daripada petani kampung yang mereka kebiasaannya hantar di pasar basah. Harganya agak murah sedikit.

"Bagi sayuran import khususnya yang diambil dari China seperti lobak merah, harganya juga masih tinggi yang mana saya terpaksa jual RM7 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini. Begitu juga dengan sayuran yang diimport dari Australia," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, kenaikan harga bagi terung disifatkan agak mengejutkan dan yang paling tinggi sedang berlaku hinggakan dia terpaksa menjual dengan harga RM12 sekilogram.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Besar Kuala Kangsar hari ini mendapati hampir kesemua peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena perayaan Krismas kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:53 PM