PEKAN Nilai dinaiki air sehingga mencecah 0.3 meter akibat hujan lebat. FOTO Ihsan APM
PEKAN Nilai dinaiki air sehingga mencecah 0.3 meter akibat hujan lebat. FOTO Ihsan APM
Ahmad Hasbi

Nilai: Taman Ros Merah, Kampung Stesen dan Kampung Sungai Mahang di Pekan Nilai, dinaiki air sehingga mencecah 0.3 meter akibat hujan lebat pada 4 petang hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, sebanyak tujuh rumah di Kampung Sungai Mahang dinaiki air, namun tiada mangsa dipindahkan.

"Hujan lebat petang tadi di kawasan tadahan menyebabkan air melimpah ke Pekan Lama Nilai dan Kampung Sungai Mahang. "Di Kampung Sungai Mahang, tujuh rumah berdekatan dengan Sungai Mahang dinaiki air, namun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bacaan hujan di Stesen Bandar Baru Nilai 4.45 petang menunjukkan kapasiti hujan 59 milimeter.

Menurutnya, APM bersama beberapa agensi lain memantau keadaan banjir dan selepas hujan berhenti pada 6 petang, air mulai surut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar berkata, pihaknya meminta Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan untuk mengenalpasti sebarang penyelesaian jangka pendek.

"Seperti dinyatakan sebelum ini, Jabatan Pengiran dan Saliran (JPS) mempunyai beberapa pelan seperti menaiktaraf kolam takungan air di Taman Desa Jasmine Nilai dan Pelan Tebatan Banjir di Sungai Labu.

"Tetapi kedua-dua pelaksanaan projek naik taraf ini akan mengambil masa dan kos tinggi. Kolam takungan air di Desa Jasmine dijangka bermula awal tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 11:37 PM