ALI Biju (kiri) dan Mohamed Azmin ketika mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Saratok. FOTO Mohd Roji Kawi
ALI Biju (kiri) dan Mohamed Azmin ketika mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Saratok. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Saratok: Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju mengharapkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi ruang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding di Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, ia adalah timbal balas terhadap pengorbanannya menarik diri sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Krian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata, pengorbanannya menarik diri sebagai calon Bebas itu adalah demi kepentingan kedua-dua pihak sebagai rakan dalam Kerajaan Persekutuan.

"Inilah yang kita harapkan selepas kita berkorban dengan memberi laluan kepada GPS pada PRN Sarawak kali ini.

"Perkara itu memang sudah dibincangkan antara pimpinan tertinggi Bersatu dan GPS, tetapi saya tidak dapat mendedahkan butirannya," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Saratok, di sini, malam ini.

Hadir sama, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Ali berkata, beliau akan ke rumah panjang di kawasan Krian bagi menjelaskan keputusannya menarik diri sebagai calon Bebas.

"Saya akan merayu kepada mereka agar jangan memangkah saya di dalam kertas undi nanti, sebaliknya mereka harus memangkah calon GPS.

"Saya merayu agar kenyataan dikeluarkan GPS dalam tempoh berkempen ini adalah kenyataan boleh meredakan ketegangan yang berlaku. Kita kini sudah bersama, jadi elakkan kenyataan boleh menyinggung perasaan (penyokong beliau)," katanya.

Ketika ditanya apa langkah seterusnya jika beliau tetap dipilih pengundi Krian berikutan namanya sudah dicetak di dalam kertas undi, Ali berkata, beliau tidak mahu mencetuskan sebarang spekulasi.

Sebaliknya, beliau menyatakan keyakinan GPS akan menang di kawasan Krian, hasil sokongan yang beliau berikan.

"Ini yang saya mahu jelaskan kepada penyokong saya. Kemenangan GPS adalah kemenangan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 10:53 PM