Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 oleh kerajaan dengan denda atau hukuman setimpal kepada individu yang mempersenda OKU antara yang dicadangkan persatuan mewakili OKU di negara ini.

Pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya Bentong (POKUB) Mohd Huzaire Ahmad, 44, berkata, hukuman khidmat masyarakat antara yang bersesuaian kerana boleh memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat untuk lebih berhati-hati sebelum bertindak.

Bagaimanapun, Mohd Huzaire berkata, kerajaan perlu membantu dengan dengan mengkaji, menyemak, meminda atau memperkasa Akta OKU 2008 bagi memastikan nasib dan hak OKU terbela.

"Setakat akta tanpa tindakan atau hukuman kepada pelaku mempersenda OKU tidak memadai.

"Justeru, akta sedia ada perlu digubal dengan memperuntukkan hukuman bersesuaian kepada pelaku yang dengan sengaja mempersenda OKU," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas mengenai video tular beberapa hari lalu, Mohd Huzaire mengakui tersinggung dengan tindakan individu malah percaya ahli komuniti lain turut merasakan perasaan yang sama.

"Jujurnya hati saya terusik ketika menonton video itu kerana ia tular tidak lama selepas kami (komuniti OKU) meraikan Hari OKU Sedunia pada 3 Disember lalu.

"Apa pun tujuannya, niat tetap tidak menghalalkan cara. Bukankah rakyat Malaysia kaya dengan adab sopan? Jadi di manakan kesopanan itu dan disebabkan itu, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Pahang semalam walaupun individu terbabit sudah membuat permohonan maaf terbuka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kerusi Roda Malaysia, Azarin Razali, 48, berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan meminda Akta OKU 2008 dengan merangkumi jenis kesalahan dan denda dikenakan kepada individu yang mempersenda OKU.

Menurutnya, ketetapan hukuman itu nanti perlu disusuli dengan penguatkuasaan supaya tindakan dapat diambil terhadap mereka yang ingkar.

"Akta kini bersifat dasar dan tiada penguatkuasaan jadi kami komuniti OKU perjuangkan untuk menggubalnya.

"Kalau boleh, masukkan setiap kesalahan berkaitan dengan hukuman terhadap pelaku

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh beri kerjasama dengan memasang papan tanda tertera nilai denda bagi kesalahan misalnya serta menjalankan penguatkuasaan supaya masyarakat lebih takut," katanya.

Menurut Azarin, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap individu mempersenda OKU seperti dalam video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

"Memang berasa kecewa dengan perbuatan individu terbabit kerana terlalu biadap. Tergamak mereka lakukan begitu malah ia seperti mencacatkan Hari OKU Sedunia yang baru disambut tempoh hari.

"Biarpun mereka sudah memohon maaf, saya tetap tampil membuat laporan di Balai Polis Lenggeng, Negeri Sembilan jam 12 tengah hari tadi supaya kes itu diberi perhatian serius," katanya.

Terdahulu, tular video di laman sosial menunjukkan dua individu dengan salah seorangnya berpura-pura sebagai OKU dan berjalan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah pusat beli-belah.

Belum reda isu terbabit, kemudiannya tular satu lagi video menunjukkan beberapa wanita berkelakuan tidak normal ketika menggunakan tandas khusus untuk golongan OKU.

Berikutan itu, Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis berhubung dua video di media sosial yang menghina dan mempersenda OKU.

Ras Adiba hadir pada 2 petang semalam di IPD Brickfields di sini, dan menuntut tindakan diambil terhadap golongan yang menghina OKU itu.

Berita berkaitan

Polis cari dua lelaki dan dua wanita persenda OKU

Sudah maafkan, tapi laporan polis perlu dibuat - Ras Adiba [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:21 PM