WAN Rosdy. FOTO Arkib NSTP
WAN Rosdy. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuantan: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, meluahkan rasa kecewa dengan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang seolah menyebelahi peneroka haram.

Beliau berkata walaupun perlu menjadi suara kepada rakyat, namun bak kata orang lama 'kalau hendak menurut biarlah berakal dan kalau hendak mengikut biarlah pintar' selain menjadi tanggungjawab pemimpin mengajak rakyat menghormati undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri tetap mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali bertolak ansur dengan peneroka tanah haram, walau apa juga alasan mereka berikan.

"Pemilikan tanah oleh mana-mana individu harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang. Dalam hal ini, saya menyeru semua wakil rakyat supaya dapat memberikan penerangan dan pencerahan kepada mereka yang terlibat dengan penerokaan tanah haram.

"Sama ada dari segi perundangan dan etika kerana itu tanggungjawab kita sebagai pemimpin," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2022) 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata Pelan Transformasi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi memperbaiki perkhidmatan bekalan air di negeri ini, menyasarkan keperluan anggaran kos sebanyak RM4 bilion dan akan dilakukan secara berperingkat.

Kos itu, menurut beliau merangkumi keperluan untuk menjadi sumber air mentah, meningkatkan kapasiti loji rawatan air, menaik taraf sistem simpanan dan penggantian paip jenis simen asbestos di samping memastikan kadar air tanpa hasil (NRW) yang mampan.

Setakat ini, PAIP dan kerajaan negeri berjaya mendapatkan peruntukan RM2.1 bilion yang diluluskan bagi tujuan tersebut.

Bagi menyeimbangkan pembangunan di Pahang Barat yang agak ketinggalan daripada daerah lain, Wan Rosdy berkata Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus ditubuhkan awal tahun ini, telah menjalankan kajian dan mencadangkan lima kluster utama bagi meningkatkan ekonomi di daerah terbabit.

Kluster tersebut ialah pelancongan, pertanian, perkayuan, mineral dan perkhidmatan yang mana Wan Rosdy optimis cadangan intervensi keberhasilan segera, jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang akan dilaksanakan dapat mengecilkan jurang pembangunan antara Pahang Timur dan Pahang Barat.

Mengulas mengenai Pahang Corporation Sdn Bhd (Pahang Corp) yang dibangkitkan Lee Chean Chung (PH-Semambu), Wan Rosdy berkata syarikat yang diperbadankan pada 21 Mac 2019 itu masih aktif dan adalah syarikat induk milik penuh kerajaan negeri yang berperanan sebagai syarikat cabang pelaburan bagi menceburi perniagaan baharu dan sektor strategik berpotensi pulangan kompetitif.

"Antara aktiviti perniagaan utama kumpulan Pahang Corp ialah pengurusan sumber aset kerajaan, perkhidmatan pengurusan korporat, pengurusan sumber air dan tenaga, pengurusan infrastruktur utiliti dan pembangunan ekonomi digital dan internet perkara (IoT)," katanya.

Lima anak syarikat Pahang Corp pula ialah Pahang Corporate Management Services Sdn Bhd, Pahang Water and Energy Resources Sdn Bhd, Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd, Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd dan Pahang Go Sdn Bhd dengan semua kecuali Pahang Go mencatatkan keuntungan dalam prestasi kewangan mereka.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri bercadang memberi insentif kewangan kepada semua ADUN sebagai penghargaan kepada mereka, namun nilainya masih belum ditentukan dan tertakluk kepada persetujuan ahli dewan.

Persidangan bersambung pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 4:14 PM