ALI Biju. FOTO Ihsan Facebook Ali Biju
ALI Biju. FOTO Ihsan Facebook Ali Biju
Saiful Haizan Hasam


Kuching: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menghargai pengorbanan Datuk Ali Biju yang menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerian.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, pengorbanan itu selaras dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak demi kestabilan politik dan semangat setiakawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, keputusan itu walaupun mungkin agak sukar bagi Ali tetapi dipandang tinggi oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu Sarawak.

"Saya juga juga ingin mengucapkan syukur kerana pengorbanan beliau adalah berdasarkan persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

"Oleh itu, tindakan beliau adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada hari penamaan calon Isnin lalu, Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli membuat kejutan dengan bertanding di Dun Krian sebagai calon Bebas.

Pada PRN Sarawak 18 Disember ini, Ali berdepan saingan empat penjuru menentang calon GPS, Friday Belik, Danny Kuan (PBK) dan Musa Dinggat (PSB).

Hari ini, Ali akhirnya membuat keputusan untuk menarik diri, namun berdasarkan Perkara 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 nama Ali akan kekal di dalam kertas undi kerana tempoh untuk menarik diri berakhir pada 10 pagi hari penamaan calon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:00 PM