SUKARELAWAN memasang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB). FOTO Aizuddin Saad.
SUKARELAWAN memasang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB). FOTO Aizuddin Saad.
Mohd Roji Kawi


Mukah: Sehingga semalam, Polis Dalat menerima lima permohonan permit daripada parti bertanding Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) untuk mengadakan ceramah secara bersemuka di kawasan yang capaian internet kurang memuaskan.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, permohonan itu diterima daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mahu mendekati pengundi di rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin.

Katanya, pihaknya meneliti setiap permohonan diterima untuk memberi ruang kepada mereka berkempen selaras peraturan pilihan raya yang ditetapkan.

"Mereka (calon dan parti bertanding) pula harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah penganjur, urus setia, calon dan penceramah perlu melakukan ujian Covid-19 kendiri dengan kit ujian pantas (RTK) sebelum menghadiri ceramah.

Ujian tersebut hendaklah dibuat di Bilik Gerakan dan perlu direkodkan di dalam MySejahtera atau dicatat dalam buku dengan hanya individu yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan hadir, termasuklah penganjur, urus setia, penceramah dan peserta.

Penganjur juga perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk menyemak bilangan kehadiran, status vaksinasi, pemeriksaan suhu badan, saringan gejala seperti batuk, sakit tekak, selsema dan sesak nafas manakala peserta yang didapati suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau bergejala tidak dibenarkan masuk

Ceramah pula hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi 10 malam di lokasi tertutup dengan kehadiran peserta pada satu-satu ceramah hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang.

Peserta yang menghadiri ceramah turut dihadkan kepada penduduk di dalam sesuatu kampung atau rumah panjang itu sahaja.

Sementara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya tidak memohon permit untuk ceramah fizikal, sebaliknya hanya meminta kelulusan untuk kempen bergerak dengan kenderaan.

"Permit pergerakan dengan kenderaan itu diperlukan untuk lawatan ke tapak projek sahaja. Kami memberi tumpuan kepada kempen secara maya yang dikendalikan oleh unit sukarelawan media GPS DUN Dalat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 9:21 AM