Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Foto Hairul Anuar Rahim
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Foto Hairul Anuar Rahim
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Perpaduan Negara akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang disusun dalam KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia mulai awal tahun depan.

Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia berpaksikan kepada empat modul iaitu Modul Pelaksanaan, Penilaian, Promosi dan Media serta dan Pemantauan.

Menurutnya, bagi memperkukuhkan jentera perpaduan, kementerian menghasilkan pelan tindakan seperti Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030, Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Perpaduan 2021-2025 dan Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI).

"Selain itu, ia membabitkan Modul Pengurusan dan Program Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan Kelab Rukun Negara (KRN), serta Pelan Tindakan NGO Rakan Perpaduan (Friends of Unity).

"Sebagai langkah strategik, kementerian menghasilkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2030 yang juga pelan induk kepada pelaksanaan program penyatupaduan Keluarga Malaysia.

"Pelan ini menggariskan inisiatif dan program membabitkan kementerian dan agensi-agensi kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta, sama ada sebagai agensi peneraju mahu pun agensi pelaksana," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pelan induk itu, pihaknya menghasilkan program yang memfokuskan kepada inisiatif dan program di bawah kementerian demi manfaat bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 5:37 PM