AFGHANISTAN menghadapi krisis kemanusiaan terburuk yang memerlukan bantuan segera.
AFGHANISTAN menghadapi krisis kemanusiaan terburuk yang memerlukan bantuan segera.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pakistan memuji tindakan pantas Malaysia sebagai negara terawal menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara jiran mereka, Afghanistan.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch menyifatkan, tindakan berkenaan menjadi contoh terbaik kepada komuniti antarabangsa lain ketika Afghanistan menghadapi krisis kemanusiaan terburuk yang memerlukan bantuan segera.

"Ketika situasi di Afghanistan masih tidak menentu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia berani memotivasikan diri mereka datang ke Afghanistan.

"Saya gembira menyatakan kejayaan Malaysia ini yang pertama tiba memberikan bantuan kemanusiaan sejak pertengahan September lalu.

"Pakistan sendiri akan terus memberikan sokongan dengan menghantar bantuan kemanusiaan termasuk makanan, perubatan dan barangan keperluan penting untuk Afghanistan," katanya dalam sesi interaksi bersama media di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus memainkan peranan bagi memberikan sokongan kepada Afghanistan termasuk menganjurkan persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Disember ini bagi membincangkan krisis kemanusiaan yang melanda Afghanistan.

"Pakistan menawarkan diri menjadi tuan rumah bagi Sesi Luar Biasa Majlis Menteri Luar OIC itu untuk membincangkan situasi yang berlaku di Afghanistan atas permintaan Pengerusi OIC, Arab Saudi.

"Selain negara anggota, Pakistan juga akan menjemput Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi pembangunan kemanusiaan untuk mengumpul suara solidariti komuniti antarabangsa dan mewujudkan mekanisme penyaluran bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan.

"Ini kerana krisis kemanusiaan di Afghanistan boleh memburukkan lagi keadaan hingga menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dan mengakibatkan penghijrahan besar-besaran pelarian selain menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, Pakistan akan terus mengadakan hubungan diplomatik dengan Afghanistan serta negara berkaitan bagi memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan.

"Objektif kami adalah mahu menarik perhatian masyarakat antarabangsa supaya terus terbabit secara konstruktif dan mencari jalan dalam meringankan penderitaan rakyat Afghanistan.

"Pakistan juga menekankan keperluan mengurangkan sekatan kewangan dan perbankan supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara efektif supaya Afghanistan stabil sekali gus menyumbang kepada kemakmuran dan keamanan serantau," katanya.

Untuk rekod, sejak September lalu, antara NGO Malaysia yang aktif mengumpul dana dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan ialah pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dan Yayasan Isra' Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:56 PM