GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Selangor bercadang untuk menjual baki dos bekalan vaksin program Vaksin Selangor (SelVAX) industri yang masih ada jika terdapat permintaan daripada negeri atau negara yang berdepan kekurangan bekalan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan negeri akan melengkapkan permohonan rakyat yang ingin mendapatkan dos penggalak terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan negeri diberi jaminan oleh pihak pembekal bahawa vaksin yang dibeli itu boleh bertahan dalam tempoh tiga tahun dan pihaknya percaya ia (bekalan vaksin) boleh dihabiskan.

"Dari masa ke semasa, kerajaan negeri memikirkan untuk menjual ataupun di masa hadapan simpanan ini disediakan untuk rakyat terutamanya apabila melihat naik turun (kes) serta merebaknya kes baharu.

"Strategi kita akan habiskan (baki vaksin) dalam masa setahun bagi komuniti dan selepas itu kita kena fikirkan strategi tambahan," katanya di Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, tadi.

Amirudin menjawab soalan tambahan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin tahu rancangan kerajaan negeri untuk menghabiskan baki dos vaksin program SelVAX yang belum dijual.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan bahawa pinjaman bekalan vaksin Selangor kepada Pulau Pinang juga tidak berlaku dan tidak wujud isu pulangan balik vaksin.

"Kita sudah bersetuju untuk pinjaman tersebut tapi pada masa sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menawarkan (bekalan) pada kerajaan Pulau Pinang, justeru pinjaman itu tidak dilaksanakan (tidak berlaku).

"Bagaimanapun, kita tetap menyerahkan 20,000 dos vaksin kepada Pulau Pinang sebagai tanda solidariti untuk kita melawan Covid-19," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Daroyah Alwi (Bersatu-Sementa) yang ingin mengetahui status pinjaman vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang, sama ada sudah dipulangkan semula atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:29 PM