SEMAH menyediakan soto yang dijual pada harga serendah RM2. FOTO Hassan Omar
SEMAH menyediakan soto yang dijual pada harga serendah RM2. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid tanah: Meskipun harga ayam meningkat sejak tiga bulan lalu hingga mencapai harga maksimum RM10 sekilogram namun seorang peniaga tetap menjual soto ayam pada harga RM2 semangkuk.

Peniaga terbabit Mak Semah atau nama sebenarnya Semah Baba, 63, tidak mahu menjadikan kenaikan harga ayam sebagai faktor untuk meningkatkan harga jualan soto yang diusahakan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, meskipun harga ayam standard dijual pada harga maksimum RM9.30 sejak kelmarin namun dia tetap tidak mengubah harga soto.

"Memang saya dan peniaga makanan lain terbeban dengan kenaikan harga ayam sejak lima bulan lalu dan paling tinggi ia mencecah RM10 sekilogram dua minggu lalu.

"Bagaimanapun, saya masih mampu menyerap kesan kenaikan harga ayam dengan menjual lebih 100 mangkuk soto sehari tanpa mengurangkan sedikit pun ayam carik yang menjadi antara ramuan utama soto," katanya ketika ditemui di warungnya di Kampung Bukit Apit, di sini, tadi.

Semah berkata, harga ayam hanya RM5.80 sekilogram pada Ogos lalu namun meningkat mendadak lebih 30 peratus kini.

"Harga terus meningkat kepada RM10 sekilogram dua minggu lalu dan ketika itu saya mula merasai kesannya," katanya.

Pada Ahad lalu, Ketua Setiausaha kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad memaklumkan akan mengkaji semula harga maksimum ayam RM9.30 sekilogram selepas ayam import memasuki pasaran.

Beliau menjelaskan, harga ayam ditentukan oleh keadaan pasaran dan lazimnya, apabila penawaran ayam meningkat berikutan kemasukan ayam import, harga akan turun.

Beliau berkata, KPDNHEP memantau keadaan pasaran selepas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membenarkan ayam sejuk beku diimport sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 3:16 PM