Murni Wan Omar dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis dilihat memasuki kawasan kediaman Datuk Seri Najib Razak di Pavillion Residence di sini, pada 8 pagi dipercayai untuk mengiringi bekas perdana menteri itu ke Kompleks Mahkamah di Putrajaya.

Bagaimanapun sehingga 8.40 pagi, media yang berkumpul di pekarangan kediaman tidak melihat sebarang pergerakan kenderaan.

Najib dijangka mengetahui keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, hari ini dengan Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikannya secara dalam talian pada 9 pagi.

Keputusan itu disampaikan melalui dalam talian berikutan bekas perdana menteri itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

PEKARANGAN kediaman Najib Di Pavillion Residence lenggang. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
PEKARANGAN kediaman Najib Di Pavillion Residence lenggang. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.

Semalam, Mahkamah Rayuan menegaskan boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Najib untuk dibawa ke mahkamah berikutan kegagalannya hadir pada prosiding permohonan beliau untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd, hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim itu berkata, mahkamah mempunyai dua pilihan sama ada untuk membatalkan wang ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap ke atas Najib untuk dibawa ke mahkamah serta-merta atau mengadakan prosiding secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 9:12 AM