T.MONASANGKARI (tiga, kanan) merakam gambar kenangan  bersama rakan di SJKT Ladang Lima Blas sebelum berpindah ke Perak pada tahun hadapan. FOTO Ihsan pembaca
T.MONASANGKARI (tiga, kanan) merakam gambar kenangan bersama rakan di SJKT Ladang Lima Blas sebelum berpindah ke Perak pada tahun hadapan. FOTO Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

Slim River: "Saya belajar di sekolah ini dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam dan kembali ditugaskan sebagai guru selepas menamatkan pengajian," kata guru Matematik, T Monasangkari, 34.

Pengalaman hampir 11 tahun berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lima Blas, Hulu Selangor sejak 2011 begitu bermakna buat dirinya apabila bakal berpindah ke sekolah baharu di Perak.

Monasangkari berkata, dia berasa seperti sudah terlalu lama berada di sekolah itu berikutan di situlah dirinya mula belajar untuk mengenal huruf sehingga berjaya menjadi pendidik iaitu hasil didikan guru-guru terdahulu.

"Sudah tiba masanya saya berhijrah dan mencari pengalaman dan suasana baharu bagi memastikan kerjaya terus relevan seiring perkembangan dunia pendidikan semasa.

"Permohonan saya untuk berkhidmat di Perak akhirnya berjaya selepas dua kali memmohon pertukaran ke negeri berkenaan," katanya.

Katanya, walaupun akan berkhidmat di Perak, namun hanya Sungai Bernam memisahkan dia untuk menjenguk ibunya yang tinggal di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.

"SJKT Ladang Lima Blas ini mempunyai banyak kenangan untuk saya sebagai seorang murid dan guru sekali gus tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Walaupun berat, namun saya perlu berpindah ke sekolah baharu bagi mendapatkan suntikan motivasi dalam suasana persekitaran kerja yang baharu," katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik Sekolah Rendah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, dia berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meluluskan permohonan pertukarannya yang berkuat kuasa 3 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:02 PM