Keadaan rumah dua tingkat yang musnah dalam kebakaran di Jalan Tokong, Kota Sarang Semut. FOTO IHSAN BOMBA
Keadaan rumah dua tingkat yang musnah dalam kebakaran di Jalan Tokong, Kota Sarang Semut. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: "Saya rasa tak sedap hati sehingga buat kerja pun serba tak kena sebelum mendapat khabar duka apabila rumah saya terbakar. Habis semua barangan termasuk kad orang kurang upaya (OKU) hangus."

Begitu kata Mohd Saad Hamid, 54, apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Jalan Tokong, Kota Sarang Semut, di sini, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pemandu lori itu berkata, dia yang masih bujang tiada di rumah ketika kejadian kerana mempunyai urusan di Sanglang, Perlis.

"Saya menerima panggilan ketika baru hendak makan tengah hari memberitahu rumah terbakar lalu bergegas pulang untuk melihat keadaan rumah.

"Sebaik tiba di rumah, saya mendapati semuanya musnah termasuk kad OKU, lesen dan dokumen penting turut terbakar. Saya mempunyai kad OKU kerana ibu jari kaki kanan dipotong akibat kencing manis," katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, sebelum keluar rumah, dia sudah memeriksa semua suis dalam rumah, tetapi tidak menyangka kejadian itu akan berlaku.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.20 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan BBP Yan dikejarkan ke lokasi.

Katanya, rumah kelas B dua tingkat itu musnah 80 peratus dan setakat ini punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:08 PM