ISMAWI (kiri) berjumpa penduduk ketika berkempen di kerusi DUN Muara Tuang.FOTO Norsyazwani Nasri
ISMAWI (kiri) berjumpa penduduk ketika berkempen di kerusi DUN Muara Tuang.FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

Kota Samarahan: Kecewa dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12), menyebabkan Ismawi Mohammad memutuskan bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.

Ketua BERSATU Bahagian Samarahan itu berkata, sebagai anak jati Kampung Baru di sini, dan pernah menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau sememangnya sudah lama menunggu peluang menjadi calon pilihan raya.

"Apabila BERSATU Pusat memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRN-12, saya mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas.

"Tindakan saya ini turut disokong ahli BERSATU lain di DUN Muara Tuang demi mencapai impian kami dalam politik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismawi berkata, keputusannya bertanding sebagai calon Bebas turut mendapat sokongan masyarakat setempat yang mahu calon anak jati tempatan lebih muda dan segar.

"Isu di DUN Muara Tuang sekarang ialah penduduk mahu wakil rakyat dari kalangan anak jati Kota Samarahan sendiri.

"Jadi sebagai seorang anak muda berpendidikan dan disokong masyarakat saya menyahut cabaran untuk bertanding demi bangsa, agama dan negara," katanya.

Selain itu, katanya, masih banyak keperluan rakyat dalam kawasan DUN Muara Tuang yang perlu dilunaskan dari segi infrastruktur, pendidikan, sosial dan sebagainya.

"Masih ramai dalam kalangan anak muda di DUN Muara Tuang susah mencari pekerjaan walaupun mempunyai pendidikan tinggi.

"Saya akan memastikan perkara ini dapat diatasi sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini," katanya.

Kerusi DUN Muara Tuang menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan Datuk Idris Buang sebagai calonnya.

Empat calon lain adalah Daud Eali mewakili Parti Amanah Negara, Yakub Khalid (Parti Sarawak Bersatu), Sagandin Sulaiman (Parti Bumi Kenyalang) dan Hipni Sulaiman (Parti Sedar Rakyat Sarawak).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:53 PM