GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kangar: Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM900 kepada semua penjawat awam negeri bagi Gred 56 dan ke bawah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada pentadbiran negeri.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man ketika membentangkan Bajet Perlis 2022 yang bertemakan 'Kesalingan Pimpinan-Rakyat, Pemangkin Kelangsungan Kemakmuran dan Kesejahteraan' turut mengumumkan bantuan sebanyak RM550 untuk pesara.

"Walaupun jumlahnya tidak seberapa, diharapkan ini akan memberikan dorongan dan mencetus semangat semua penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh komitmen dan dedikasi," katanya semasa membentangkan bajet itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, di sini, hari ini.

Azlan berkata, perkhidmatan awam dan penjawat awam adalah tulang belakang kerajaan negeri yang mana gagal atau cemerlang sesebuah kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada peranan penjawat awam di pelbagai peringkat.

Menurutnya, Perlis amat beruntung kerana perkhidmatan awam dan penjawat awam di negeri ini mempunyai kualiti FAST iaitu fathonah (bijaksana), amanah, siddiq (benar) dan tabligh (menyampaikan).

"Bagaimanapun, 'we cannot rest on past laurels' kerana situasi adalah dinamik dan tentunya cabaran juga bersifat dinamik, kita bersyukur kerana penjawat awam telah banyak berkorban dan telah melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:24 PM