Yong Choo Kiong ketika tiba di mahkamah. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Yong Choo Kiong ketika tiba di mahkamah. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini memerintahkan bekas Exco kerajaan negeri Perak Paul Yong Choo Kiong untuk membela diri terhadap pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Menurutnya, terdapat dua elemen yang dibuktikan oleh saksi pendakwaan terhadap kejadian rogol berkenaan di mana elemen pertama membuktikan berlaku kemasukan pada kemaluan dan kedua, tertuduh melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa selain kenyataan mangsa juga konsisten.

Katanya, pakar sakit puan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital (HRPB), di sini, ditandakan sebagai SP5 yang menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa mendedahkan terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa akibat kemasukan objek atau organ tumpul.

Bagi elemen kedua, Abdul Wahab berkata, kejadian terbabit berlaku tanpa kerelaan mangsa (SP15), di mana dia turut melawan dan berteriak menangis tetapi tidak didengari kerana pintu ditutup.

"SP15 (mangsa) cuba melawan semula dan menolak tertuduh tetapi dia (Yong) berbadan besar dan lebih kuat. Mangsa terpaksa berlari ke bilik air, dia berasa dirinya kotor, jijik dan hina apabila diperlakukan sedemikian," katanya.

Selepas membaca kesemua keputusan dan bukti-bukti kes, Abdul Wahab berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Berikutan itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri," katanya.

Abdul Wahab berkata, Yong mempunyai tiga pilihan sama ada membuktikan dirinya tidak bersalah, atau menyediakan kenyataan secara bersumpah atau berdiam diri.

Peguam Yong, Datuk Rajpal Singh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi kenyataan secara bersumpah.

"Pihak kami akan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari dan 16 Februari depan untuk Yong membela diri.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya berusia 25 tahun di rumahnya di Taman Meru Desa pada 7 Julai 2019, antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Yong dibicarakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh sebat, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi termasuk dua saksi yang dilindungi, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes yang bermula pada 5 April lalu.

Yong diwakili Rajpal Singh dan Salim Bashir, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rashdi, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 3:08 PM