Mohd Rafi Mamat

Raub: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam 1,500 pokok Meranti Tembaga dan Merawan Siput Jantan di kawasan seluas empat hektar bekas kebun durian Musang King haram di Hutan Simpan Teras di sini, hari ini.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, selesai menebang 600 pokok durian Musang King dalam Operasi Teras semalam, usaha menghijaukan semula kawasan terbabit terus dilakukan.

Menurutnya, usaha itu mengambil masa antara dua hingga tiga hari dan dilakukan lebih 45 kakitangan PHD Raub, PHD Bentong, PHD Lipis dan

Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat.

"Pokok hutan berusia setahun hingga setahun lima bulan yang ditanam itu dapat mengurangkan risiko hakisan tanah di kawasan bukit dan berteres," katanya yang turut sama menyertai program menanam itu.

kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam pokok balak di kawasan ceroboh di Hutan Simpan Teras. FOTO MOHD RAFI MAMAT
kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam pokok balak di kawasan ceroboh di Hutan Simpan Teras. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Menerusi Operasi Teras semalam sebanyak 600 pokok durian Musang King berusia antara setahun hingga dua tahun yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras dimusnahkan.

Shahril berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan secara berterusan bagi memastikan tidak diceroboh lagi dan Unit Tindakan Khas PHD Raub akan melakukan rondaan secara berkala bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Sementara itu Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, pihaknya bertanggungjawab membekalkan anak pokok balak untuk di tanam di kawasan Hutan Simpan Teras yang diceroboh itu.

Katanya, tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat di Rotan Tunggal di sini, menjadi pembekal utama bekalan anak pokok setiap kali program penghijauan semula kawasan ceroboh di negeri ini.

"Program menanam pokok balak yang dilakukan turut bagi menjayakan Program Penghijauan Malaysia kempen penanaman 100 juta pokok 2021-2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:44 PM