PORT DICKSON 12 OKTOBER 2018. Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan menjelang hari mengundi yang akan diadakan esok sempena Pilihan Raya Kecil P. Port Dickson di Sekolah Rendah Kebangsaan Port Dickson. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
PORT DICKSON 12 OKTOBER 2018. Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan menjelang hari mengundi yang akan diadakan esok sempena Pilihan Raya Kecil P. Port Dickson di Sekolah Rendah Kebangsaan Port Dickson. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@bh.com.my


Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat sukar mencapai sasaran 70 peratus jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 selagi isu Pengundi Tidak Hadir (PTH) tidak ditangani.

Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Jeniri Amir berkata, isu berkaitan PTH adalah isu lama yang sepatutnya sudah ditangani sebelum PRN berlangsung.

Katanya, PRN Sarawak sepatutnya diadakan tahun lalu dan sepatutnya SPR sudah ada perancangan dan ruang untuk membuat persiapan yang lebih daripada mencukupi untuk menyelesaikan isu PTH ini.

"Jadi dengan ketiadaan penyertaan pengundi di luar Sarawak, sudah tentu akan memberi kesan kepada sasaran SPR untuk mencapai 70 peratus jumlah keluar mengundi," katanya ketika mengulas kenyataan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang mendakwa kira-kira 250,000 rakyat Sarawak berada di luar negeri berkenaan berkemungkinan tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Selain kos penerbangan yang mahal untuk rakyat Sarawak pulang mengundi, Madius turut mempersoalkan kegagalan SPR menangani isu berkenaan yang sudah dibangkitkan sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, dengan batasan yang ada terutama rakyat Sarawak di luar negeru berkenaan, ia menyekat peluang melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, SPR seharusnya menggunakan kemudahan sedia ada seperti undi pos bagi membolehkan pengundi yang tidak dapat balik ke Sarawak, untuk mengundi.

Katanya, SPR juga boleh menyediakan kemudahan mengundi seperti di beberapa lokasi khas di ibu negeri yang memiliki jumlah rakyat Sarawak paling ramai sebagai lokasi membuang undi.

"Kita lihat Indonesia, walaupun rakyatnya berada di luar negara, mereka masih boleh mengundi dengan kemudahan itu disediakan di pejabat kedutaan dan sebagainya.

"Jadi, saya berpandangan SPR boleh melaksanakan pelbagai cara untuk menangani isu PTH ini. Mungkin tidak sempat untuk PRN Sarawak kali ini namun ia boleh dilaksanakan menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya.

SPR semalam mensasarkan jumlah peratusan keluar mengundi pada PRN Sarawak Ke-12 adalah sebanyak 70 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:31 PM