Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kelantan bercadang untuk mengekalkan empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) terus beroperasi di negeri ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata empat, PKRC berkenaan adalah di Kota Bharu yang keseluruhan mampu memuatkan hampir 500 pesakit.

Katanya, PKRC itu adalah PKRC Tanjong Chat, Dewan Jubli Perak, Gelanggang Seni dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Di Kelantan walaupun PKRC banyak, namun ia berskala kecil dan hanya mampu memuatkan lebih 100 pesakit.

"Justeru, berhubung cadangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mahu mengekalkan satu PKRC di setiap negeri yang mampu memuatkan 500 pesakit, ia tidak dapat dilakukan dengan hanya satu PKRC sahaja memandangkan kita tidak mempunyai lokasi berskala besar.

"Jika mahu dikekalkan untuk kapasiti 500 orang, kita mencadangkan empat PKRC iaitu dua untuk pesakit perempuan manakala dua untuk pesakit lelaki," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC di USM, di sini, hari ini.

Dr Mohd Zurairie (dua dari kiri) melawat PKRC di USM Kubang Kerian di sini, hari ini. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Dr Mohd Zurairie (dua dari kiri) melawat PKRC di USM Kubang Kerian di sini, hari ini. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM

Terdahulu, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, sekurang-kurangnya satu PKRC dengan kapasiti 500 orang akan dipastikan kekal beroperasi di setiap negeri.

Beliau berkata, kebanyakan premis dijadikan PKRC sebelum ini sudah memohon untuk menamatkan perkhidmatan seperti institut latihan awam dan hotel bagi menjalankan operasi dan perniagaan seperti biasa.

Menurutnya, peranan PKRC di setiap negeri adalah bagi menyokong sistem kesihatan awam sekiranya berdepan kenaikan mendadak kes, terutama dalam kategori 2B, iaitu bergejala ringan yang teruk bagi mengelakkan pesakit beralih ke kategori 3, 4 atau 5 yang kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:30 PM