Keadaan kereta selepas dirempuh bas di Kilometer 37 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan susur Datuk Onn di sini, pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Keadaan kereta selepas dirempuh bas di Kilometer 37 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan susur Datuk Onn di sini, pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua pemandu cedera apabila kenderaan mereka dirempuh bas persiaran dalam kemalangan di Kilometer 37 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan susur Datuk Onn di sini, pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Samsul Khomari Bakar berkata, kejadian pada 9 pagi itu membabitkan sebuah bas persiaran dan tiga kenderaan.

Menurutnya, mangsa yang cedera ialah pemandu Proton Saga, Ramy Bidin, 38, dan pemandu BMW, Helmi Mohamed, 47.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah bas persiaran melanggar tiga buah kereta dan mengakibatkan dua orang mangsa mengalami kecederaan.

"Ketika kejadian tiada penumpang dalam bas persiaran terbabit.

"Mangsa pemandu Proton Saga tersepit di bahagian kaki, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pemandu BMW juga dikeluarkan oleh orang awam dari kenderaannya dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya.

Menurut Samsul Khomari, pemandu bas persiaran itu dan sebuah lagi kereta tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 11:59 AM