Seorang lelaki maut, manakala enam petugas kesihatan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 58.0 Jalan Johor Bahru-Mersing. FOTO IHSAN BOMBA JOHOR
Seorang lelaki maut, manakala enam petugas kesihatan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 58.0 Jalan Johor Bahru-Mersing. FOTO IHSAN BOMBA JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Seorang lelaki maut, manakala enam petugas kesihatan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 58.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8 pagi berhubung kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan kereta Toyota Innova milik Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Katanya, lelaki berusia 50 tahun yang bekerja di kilang proses batu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala enam petugas kesihatan berusia 30 hingga 50 tahun cedera.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang memandu kereta Proton Wira dari rumahnya di perumahan tersusun Mawai Baru untuk ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Jalan Mawai.

"Tiba di lokasi kejadian, kenderaannya hilang kawalan dan berpusing disebabkan terdapat batu-batu di atas jalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa sama, kereta Toyota Innova yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing gagal mengelak lalu bertembung dengan Proton Wira berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan jalan terdapat banyak batu yang bertaburan menyebabkan jalan tidak rata.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:23 PM