Noor Aienzam Mohamad bersama suami dan anak gembira apabila permohonannya untuk mengajar di Terengganu diluluskan hari ini. FOTO Ihsan Noor Aienzam Mohamad
Noor Aienzam Mohamad bersama suami dan anak gembira apabila permohonannya untuk mengajar di Terengganu diluluskan hari ini. FOTO Ihsan Noor Aienzam Mohamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Setiap tahun selama enam kali saya mohon untuk mengajar di Terengganu, namun semuanya hampa.

"Alhamdulillah pada tahun ini rezeki memihak kepada saya yang baharu dapat cahaya mata pertama, Muhammad Adam Rayyan, 36 hari lalu," kata guru, Noor Aienzam Mohamad, 30 yang dapat bertukar ke Terengganu dari Kuala Lumpur mulai sesi 2022.

Noor Aienzam yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Abdullah, Kepong, Kuala Lumpur berkata, berkat doa kedua ibu bapanya yang kini sakit di Jabi, Besut, mungkin turut memberi rezeki buatnya bertukar ke Terengganu.

Katanya, dia baru setahun tinggal berjauhan dengan suami, Razmi Ermi Muhammad, 30, yang bekerja di Besut, namun disebabkan mahu menjaga bapa, Mohamad Ismail, 65 yang menghidapi kanser dan ibu, Kamariah Yunus, 71, yang sakit tua, saya terus memohon sebelum terpilih antara guru dapat bertukar ke Terengganu.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang prihatin dengan nasib warga guru seperti saya.

"Pada awalnya saya tidak meletakkan harapan tinggi dapat bertukar ke Terengganu kerana sudah lali selepas enam kali memohon bermula 2016.

"Namun pada 8.30 pagi tadi selepas menyusukan anak, saya tergerak hati untuk melihat status permohonan dan terkejut kerana tidak menduga dapat tinggal bersama suami di kampung kerana bukan mudah untuk masuk ke Terengganu," kata bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu.

Sementara itu, guru dari SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Farah Nabilah Zainuddin, 28, mengakui terkejut dan bersyukur kerana permohonannya diluluskan untuk berkhidmat di Terengganu selepas empat kali memohon pertukaran.

Menurutnya, dia begitu teruja dan gembira kerana dapat pulang ke kampung untuk menjaga ibu, Khatijah Mohd Salleh yang semakin uzur.

"Sebelum dapat keputusan itu, perasaan berdebar, tidak senang duduk, resah gelisah bermula selepas pengumuman Dr Radzi bahawa 6 Disember ini akan diumumkan pertukaran guru secara besar-besaran.

"Pada 1.45 pagi tadi, saya terjaga daripada tidur dan menyemak keputusan sebelum memaklumkan kepada ibu serta sahabat baik.

"Hasrat saya untuk menjaga ibu yang keseorangan di Kemaman selepas kematian bapa, Zainuddin Talib sejak 2002 termakbul. Tambahan pula, suami, Mohd Azhar Mohd Noor, 28 dibuang kerja sebagai tukang masak sebuah hotel kesan pandemik Covid-19," kata guru Bahasa Melayu dan Sejarah yang berasal dari Bukit Kuang, Kemaman.

Terdahulu, Dr Radzi mengumumkan seramai 11,469 permohonan pertukaran diterima daripada keseluruhan 20,772 dibuat sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:57 PM