GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengusaha pawagam teruja apabila premis mereka kembali meriah selepas kanak-kanak bersama ibu bapa yang lengkap vaksin kini dibenarkan untuk menonton wayang bersama.

Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama GSC, Sharmine Ishak berkata, kebenaran itu dibuat pada waktu yang cukup tepat memandangkan hujung tahun adalah musim cuti sekolah.

"Selepas pengumuman prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasa, kami mula menerima kedatangan kanak-kanak bersama ibu bapa atau penjaga pada 4 Disember lalu.

"Panggung wayang menjadi lebih meriah kini dengan kanak-kanak sejak pengumuman terbabit. Kami berharap lebih ramai penonton dari kalangan keluarga akan kembali dalam masa terdekat.

 

"Hujung tahun kebiasaannya menjadi masa terbaik untuk keluarga luangkan masa bersama. Jadi, kami sangat teruja mengalukan kedatangan mereka dengan SOP terkini yang ditetapkan," katanya.

Sharmine juga percaya penayangan filem yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga bakal menjadi tarikan terbaik supaya lebih ramai keluarga kembali ke pawagam. 

"Ia bertepatan dengan penayangan banyak filem yang mesra keluarga. Filem itu termasuk Encanto, Ghostbusters: Afterlife, Spider-Man: No Way Home, dan The Matrix Resurrections," katanya.

Terdahulu, pengusaha pawagam memaklumkan  mereka dalam proses berunding dengan kerajaan bagi mendapatkan kebenaran keluarga bersama kanak-kanak dibenarkan memasuki panggung wayang.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:16 PM