TIGA remaja yang didakwa berani bermain ombak di Pantai Paka. FOTO Facebook
TIGA remaja yang didakwa berani bermain ombak di Pantai Paka. FOTO Facebook
Rosli Ilham

Dungun: Tiga remaja yang dikatakan degil dan mengambil risiko bermain ombak serta mandi di Pantai Paka, dekat sini, sebagaimana yang tular di media sosial adalah pelancong dari Arab Saudi.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Paka, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, tiga remaja itu mandi di pantai terbabit pada 10.30 pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, seramai 10 anggotanya yang ditugaskan menjalankan tugas rondaan pantai sempena musim tengkujuh terserempak dengan ketiga-tiga remaja terbabit sebelum meminta mereka beredar dari pantai.

"Tiga remaja itu menginap di sebuah inap desa berdekatan dengan pantai itu dan mendakwa teruja berada di pantai itu sebelum membuat keputusan untuk mandi.

"Kami menasihati mereka pada musim tengkujuh ini sangat bahaya untuk mandi di pantai itu dan pernah berlaku beberapa kejadian lemas di situ," katanya ketika meronda di Pantai Paka, hari ini.

Mohd Aidil berkata, ketiga-tiga remaja itu mendakwa mereka tidak tahu sangat bahaya bermain ombak pada musim tengkujuh dan mereka berterima kasih kepada anggota bomba yang menasihati sebelum beredar meninggalkan pantai itu.

"Kami membuat dua syif rondaan sepanjang 15 kilometer di Pantai Paka bermula pagi sehingga 7 malam.

"Setakat rondaan dilancarkan bermula minggu lalu, kami berpuas hati apabila orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook memuat naik tindakan berani kumpulan remaja itu mandi di pantai ketika musim tengkujuh melanda pantai timur.

Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan degil remaja itu yang didakwa mengabaikan keselamatan diri dan bermain dengan ombak besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:58 PM