Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Hasbi


Seremban: Tidak perlu datang ke Negeri Sembilan jika mahu menahan kereta dan berlagak sebagai polis.

Itu amaran disuarakan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menggunakan marshal ketika konvoi.

Mohamad berkata, pihak polis mungkin tidak berada di lokasi ketika kejadian, namun dengan kecanggihan teknologi sekarang, gambar dan video kejadian pasti akan tersebar dan sampai kepada pihaknya.

"Kalau kita tengok baru-baru ini ada dua insiden dan kedua-duanya berlaku di daerah Port Dickson. Perkara ini kita sudah uar-uar di media berhubung penunggang motosikal berkuasa tinggi sebenarnya tidak dibenarkan menjadi marshal.

"Mereka tidak dibenarkan menahan, melencong dan menghalang apa jua kenderaan atas jalan raya sebab tidak ada kuasa itu. Itu kuasa polis trafik," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban di antara Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dengan Asisten Komisioner Nanda Maarof di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai insiden dipercayai berlaku di sekitar Pasir Panjang, Port Dickson, petang semalam itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang terbabit.

"Insya-Allah kita akan dapat kesan. Apa pun kami harap yang terbabit dapat tampil ke hadapan. Ini bukan kes besar, kes trafik sahaja. Datang kepada pihak polis dan kami akan siasat serta kenakan tindakan tertentu.

"Saya menyeru semua masyarakat terutama penunggang motosikal berkuasa tinggi ini, kalau datang ke Negeri Sembilan atau di mana-mana sahaja mereka tidak wajar menggunakan khidmat marshal.

"Jangan datang ke Negeri Sembilan, jangan buat marshal. Ketua kumpulan tiada masalah, tetapi jangan tahan di lampu isyarat, jangan lencongkan kenderaan. Jangan ambil tugas polis," katanya.

Sebelum ini berlaku dua insiden di daerah Port Dickson masing-masing membabitkan tindakan marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang mengarahkan kenderaan supaya berhenti dan pandu perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:27 PM