Abdul Yunus (dua kiri) menyerahkan replika cek FPM kepada Nor Shahida (tiga kanan) di rumahnya di Parit Mat Ali, Batu 12 1/2 Jalan Pantai Kuala Kurau. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Abdul Yunus (dua kiri) menyerahkan replika cek FPM kepada Nor Shahida (tiga kanan) di rumahnya di Parit Mat Ali, Batu 12 1/2 Jalan Pantai Kuala Kurau. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: "Dari hari arwah meninggal sehinggalah hari ini, anak kedua demam dan menangis, mungkin teringatkan ayahnya."

Itu luahan Nor Shahida Saidin, 31, isteri kepada arwah Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands, baru-baru ini.

Menurutnya, paling terkesan adalah anak kedua mereka, Muhammad Hafiy Fahri yang kini berusia tujuh bulan.

"Dia paling rapat dengan arwah, tidur pun nak di bawah ketiak babah. Anak sulung pula iaitu Nurhannan Fitri Sha, 2, sering menyebut nama arwah setiap kali mendengar bunyi motosikal dan menyangka itu motosikal babahnya.

"Sehingga hari ini bermacam-macam perasaan saya rasa termasuklah memikirkan nasib anak-anak yang masih kecil," katanya ditemui media di Parit Mat Ali, selepas dikunjungi Skuad Perkeso Prihatin cawangan Taiping, hari ini.

Hadir sama Pengurus Perkeso Cawangan Taiping,Tunku Shahrain Tunku Salehan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Menurutnya, selepas habis tempoh edah ini dia berhasrat untuk mencari perkerjaan bagi meneruskan kehidupan.

"Sebelum ini arwah memang melarang saya untuk berkerja. Namun seminggu sebelum kejadian, arwah menunjukkan dompet dan buku akaun banknya yang kosong dan ketika itulah dia memberi kebenaran untuk saya berkerja namun menetapkan syarat.

"Dia mengizinkan saya berkerja, tapi hanyalah di kawasan tempat tinggal kami kerana mudah untuk saya uruskan anak-anak," katanya.

Katanya, dia tidak sangka akan menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) bernilai RM2,000 dan pencen penakat RM1,300 setiap bulan dari Perkeso.

"Insya-Allah duit ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk kami meneruskan kehidupan nanti. Dalam masa sama, saya dah ahli keluarga berhajat untuk membuat upah haji sebaik menerima bantuan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata, pihaknya melalui pusat khidmat akan membantu mencari perkerjaan sesuai kepada isteri mangsa.

Katanya, pihaknya juga akan merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memohon bantuan sesuai bagi membantu keluarga ini memandangkan anak-anaknya masih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:16 PM