Mangsa, Wan Muhammad Haziq Ahmad Ruzaimi maut selepas motosikalnya melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U secara melulu di Jalan Syed Hussin, berhampiran Kampung Utan Arau. FOTO IHSAN PEMBACA
Mangsa, Wan Muhammad Haziq Ahmad Ruzaimi maut selepas motosikalnya melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U secara melulu di Jalan Syed Hussin, berhampiran Kampung Utan Arau. FOTO IHSAN PEMBACA
Aizat Sharif


Arau: Remaja lelaki maut selepas dirempuh kereta ketika cuba mengelak sebuah kereta lain yang membuat pusingan U di Jalan Syed Hussin berhampiran Kampung Utan Arau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam, mangsa Wan Muhammad Haziq Ahmad Ruzaimi, 17, berasal dari Kuang, Selangor meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian berlaku ketika kereta Proton Saga dipandu wanita berusia 40-an sedang menghala ke Pekan Pauh dari arah Arau.

"Pemandu wanita berkenaan dipercayai membuat pusingan U untuk menghala ke Arau semula, namun mangsa yang berada di belakang kenderaan itu tidak sempat mengelak.

"Akibat itu, motosikal Honda EX5 mangsa melanggar bahagian sisi kanan pintu kereta terbabit.

"Mangsa jatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta dipandu lelaki berusia 40an yang datang dari Arau ke Pekan Pauh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di badan dan kepala maut di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:47 PM