TANGKAP layar daripada video tular kejadian van kilang melawan arus di Jambatan Pulau Pinang. FOTO IHSAN ASRI
TANGKAP layar daripada video tular kejadian van kilang melawan arus di Jambatan Pulau Pinang. FOTO IHSAN ASRI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Dari jauh saya lihat ada cahaya terang sebelum menyedari ia adalah sebuah van kilang yang dipandu melawan arus... mujur saya sempat tukar lorong, jika tidak sudah tentu kereta saya turut dirempuh."

Demikian kata pengguna jalan raya yang dikenali sebagai Asri, 45, berhubung kemalangan membabitkan van kilang dengan sebuah kereta di atas Jambatan Pulau Pinang dari arah Seberang Perai menghala ke Georgetown pada 5 pagi tadi.

Insiden berkenaan dirakam menerusi 'dashcam' milik Asri sebelum dia memuat naik video berdurasi 0.47 saat berkenaan ke laman Facebook.

Asri berkata, dia sedang memandu kereta dari rumahnya di Sungai Dua, Butterworth ke pejabatnya di Georgetown.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia yang berada di lorong tengah terlihat cahaya terang di lorong laju sebelum bertindak menukar ke lorong perlahan.

"Dalam sekelip mata, van kilang berkenaan berlanggar dengan sebuah kenderaan yang memotong kereta saya.

"Saya tergamam dan hanya memberhentikan kenderaan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian serta tidak mengetahui nasib pemandu kereta yang dirempuh itu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katamya, dia juga tidak sempat melihat nombor pendaftaran van kilang itu selain tidak pasti apa yang berlaku.

Sementara itu, sumber PLUS Malaysia Berhad berkata, pihaknya sudah maklum mengenai kejadian terbabit.

"Kita serah kepada polis bagi siasatan dan tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini.

Ketika ini, Harian Metro masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada polis berhubung kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 3:25 PM