FADHIL yang lebih dikenali sebagai 'Cardock' bertanding sebagai calon Bebas di DUN Dudong. FOTO Mohd Roji Kawi
FADHIL yang lebih dikenali sebagai 'Cardock' bertanding sebagai calon Bebas di DUN Dudong. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Sibu: Bekas pembaca berita yang kini antara YouTuber terkenal di Sarawak bukan sekadar mahu mencipta sensasi apabila bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).

Fadhil Mohamad Isa, 37, yang lebih dikenali sebagai 'Cardock' terpanggil untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong selepas melihat sebahagian besar masyarakat di situ masih ketinggalan menikmati liputan Internet.

Bagi Cardock, sebagai 'influencer' dia melihat Internet bukan sahaja menjadi medium penting untuk mendapatkan maklumat malah mampu mengubah hidup masyarakat bagi mereka yang memanfaatkan media sosial untuk meraih pendapatan.

"Dudong ini sebahagiannya sudah maju kerana berada dalam kawasan bandar, namun sebahagian besar lagi yang berada di luar bandar tanpa kemudahan asas dan ketinggalan dalam dunia serba moden kerana tidak mendapat liputan Internet.

"Saya mahu masyarakat Dudong ini berubah dan mengecap kemajuan dengan adanya Internet yang akan membuka banyak peluang kepada mereka bagi meraih pendapatan bagi mengubah hidup jika mereka menggunakannya dengan baik," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon bagi kerusi DUN Dudong, di Perpustakaan Awam Sibujaya di sini, hari ini.

Cardock berdepan saingan lapan penjuru di kerusi berkenaan yang menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menurunkan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, sebagai calon.

Calon lain ialah Paul Ling Fong dari DAP, Wong Hie Ping dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Julius Enchane dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Jane Lau Sing Wee dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Josephine Lau Kiew Peng dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) serta seorang lagi calon Bebas, Engga Unchat.

Mengenai usaha untuk meraih sokongan di kawasan itu, bekas pembaca berita di TV9 itu berkata beliau sudah mempersiapkan diri sejak 2018 lagi.

"Saya memanfaatkan sepenuhnya media sosial dan kini memiliki kira-kira satu juta pengikut di Facebook serta Youtube.

"Untuk kempen pilihan raya ini, saya akan menggunakan media sosial sepenuhnya bagi menyatakan visi dan misi saya kepada masyarakat di Dudong," katanya.

Beliau yang akan bertanding menggunakan logo udang ditemani ibunya, Nur Suraya Abdullah sebagai penyokong dan Annuar Hamdi sebagai pencadang tiba di pusat penamaan calon itu pada jam 8.03 pagi.

Ditanya pemilihan udang sebagai logo, beliau berkata, ia kerana hidupan marin itu sinonim dengan tempat asal ibunya di Pasin di sini.

"Pasin terkenal sebagai tempat penduduk mencari rezeki dengan menangkap udang galah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:15 PM