Foto hiasan
Foto hiasan
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan di sini, mendakwa sering dihubungi seorang lelaki yang meminta simpati untuk mendapatkan bantuan susu formula bayi.

Pengasas Pasukan Sukarelawan Dik Wan-Team Bantuan Sungai Petani Muhammad Ridzuan Osman mendedahkan pihaknya antara yang menjadi mangsa selepas menerima kiriman WhatsApp daripada individu terbabit yang meminta bantuan membeli susu khas konon untuk anaknya yang masih mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, ketika menerima mesej terbabit pada Sabtu lalu, dia sedang sibuk dengan urusan pengebumian jenazah namun sebaik selesai kerjanya pada sebelah malam, Muhammad Ridzuan berjanji dengan lelaki terbabit untuk menghantar susu kepadanya keesokan pagi.

"Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan keadaan anak lelaki itu dan keesokannya saya menghubunginya untuk bertemu menghantar susu dan dia meminta bertemunya di hospital.

"Namun, kami selalunya akan meminta untuk bertemu terus di rumah kerana sebagai pasukan sukarelawan kami akan membantu apa keperluan lain sekiranya diperlukan mereka yang benar-benar susah selepas melihat tempat tinggal mereka," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia bersama empat anggota sukarelawan Dik Wan-Team Bantuan Sungai Petani kemudiannya diberikan alamat rumah lelaki terbabit di Taman Nilam di sini, namun sebaik tiba bersama barang yang mahu disumbangkan mereka terkejut apabila diberitahu jiran yang rumah itu sebenarnya adalah inap desa.

"Penduduk kawasan itu memberitahu kami yang inap desa terbabit juga sudah lama tidak berpenghuni kerana tiada orang menyewa dan saya terus menghubungi lelaki yang meminta bantuan susu berkenaan untuk memastikan kesahihannya.

"Bagaimanapun, panggilan serta talian telefon saya sudah disekat dan saya mengesyaki yang kami sebenarnya sudah menjadi mangsa penipuan," katanya yang kesal dengan tindakan lelaki terbabit.

Muhammad Ridzuan berkata, sebagai anggota sukarelawan memang menjadi tanggungjawab mereka akan segera menghulurkan bantuan sekiranya ada insan memerlukan namun tindakan lelaki terbabit yang meminta susu namun tidak muncul dan memberi alamat palsu memang menimbulkan curiga.

"Saya memuat naik isu ini dalam akaun media sosial dan terkejut apabila menerima komen daripada orang lain yang mendakwa pernah menjadi mangsa lelaki terbabit dengan menggunakan helah sama.

"Lebih lima rakan saya yang terdiri daripada pasukan sukarelawan lain turut menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit, semalam namun setakat ini kami enggan membuat laporan polis dan memanjangkan isu berkenaan," katanya.

Menurutnya, dia cuma berharap individu berkenaan insaf dan lebih memikirkan keadaan insan lain yang memang betul-betul memerlukan pertolongan dan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:49 AM