Mohd Roze menunjukkan ganja yang dirampas selepas penahanan seorang lelaki di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tikam Batu, di sini Khamis lalu. FOTO Izad Thaqif Hassan
Mohd Roze menunjukkan ganja yang dirampas selepas penahanan seorang lelaki di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tikam Batu, di sini Khamis lalu. FOTO Izad Thaqif Hassan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Bergerak secara solo, seorang lelaki dikesan cuba menyeludup ganja seberat 164 kilogram yang dianggarkan bernilai RM412,000 yang diletakkan dalam kenderaannya.

Tindakan berani tidak kena tempat itu membawa padah kepada lelaki berusia 34 tahun terbabit apabila dia ditahan polis di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tikam Batu menghala Kuala Lumpur dekat sini, Khamis lalu.

Suspek yang berasal dari Segamat Johor itu ditahan jam 5.45 pagi dan dia dikesan membawa dadah terbabit untuk pasaran selatan.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menemukan tujuh guni plastik lutsinar dengan setiap satu dibalut kertas putih mengandungi ganja.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah namun dia mempunyai rekod lampau bersabit satu kes jenayah.

"Kita percaya bekalan dadah terbabit untuk pasaran di selatan dan sekiranya terlepas ia dapat menampung bekalan kepada kira-kira 16,000 penagih.

"Suspek direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat kemungkinan ada ahli sindiket lain yang turut bersekongkol dengan suspek dalam aktiviti penyeludupan dadah berkenaan.

Difahamkan, suspek sengaja merancang perjalanan menghala ke Selatan ketika awal pagi dengan beranggapan polis tidak berjaya mengesannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 9:24 PM