Idris Ahmad. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Idris Ahmad. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Larut: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa jabatan agama Islam negeri untuk menyelesaikan isu kenyataan dibuat bekas anggota kumpulan nasyid yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, berhubung isu itu Jakim menghormati bidang kuasa negeri sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Sebenarnya begini, jika sesuatu perkara berlaku khasnya membabitkan agama, maka bidang kuasa negerilah yang akan mengambil tindakan atau menyelesaikannya.

"Jakim termasuk saya sendiri hanyalah penyelaras, kadang-kadang orang ramai silap faham (bidang kuasa Jakim) dan beranggapan Menteri Agama ini boleh kuasai semua negeri.

"Dalam soal agama, kita hormat bidang kuasa negeri dan dalam kes ini kita akan minta pengurusan negeri selesaikannya," katanya ketika ditemui media selepas Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) di Arena Square Wan Abu Bakar, Kampung Masjid, Ijok, hari ini.

Menurutnya, pihaknya yakin pengurusan jabatan agama negeri peka terhadap sebarang isu yang timbul dan akan dapat diselesaikan dengan baik.

Ditanya mengenai kenyataan yang dimuat naik itu, Idris beranggapan perkara sebegitu tidak patut berlaku.

"Masih ada yang beranggapan begitu tapi mungkin hanya segelintir daripada mereka yang bersikap dan berpandangan sedemikian.

"Golongan yang tak percaya agama ini (ateis) hanya wujud sekitar tahun 60-an dan 70-an dahulu dan ia semakin hilang selepas berbagai usaha dakwah dijalankan di merata tempat seperti masjid dan surau sehingga golongan ateis ini sedar dan kian lenyap dalam masyarakat hari ini.

"Kita harap benda itu tidak melarat dan kita minta pengurusan agama negeri terbabit untuk panggil dan beri nasihat. Jika terus berdegil barulah kita ambil tindakan undang-undang," katanya.

Semalam media melaporkan, kenyataan yang dibuat oleh bekas anggota kumpulan nasyid di Facebook menjadi pendebatan orang ramai di media sosial apabila dia menolak 'Allah ada di mana-mana' baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 7:34 PM